Belajar Bercinta : Bab Dua Puluh

Thursday, February 1, 2007


KENAPA kisah silam cinta hanya membuat jiwa kamu sakit? Kerana… tak ada satu kisah silam cinta yang berakhir dengan senyuman, semuanya penuh dengan tangisan dan air mata. Luka pedih terhiris! Luka hirisan cinta lalu itu sebenarnya tak pernah akan sembuh. Biarpun yang ada hanya parut, namun bisa sembilu cinta itu terus bermukim di dalam hati. Cuma, ada kala ia tak memberi kesan kepada kamu, tetapi mungkin pada waktu yang lain tiba-tiba ia menyayat kembali.

Setiap daripada kamu bertanya, “Tidak bolehkah dipadam segala kisah cinta lalu yang menghiris kalbu?” Apabila persoalan sebegini timbul ada baiknya kamu renungkan kembali, kerana memadam kisah masa lalu ibarat memadam seluruh ingatan yang ada. Lalu, mahukah kiranya kamu KEHILANGAN seluruh ingatan semata-mata mahu membuang ‘sedikit’ kisah pahit cinta lalu? Tidak! Bukan itu caranya, kerana itu adalah tindakan paling bodoh yang akan pernah kamu lakukan!

Ada sejuta satu cara yang boleh kamu lakukan. Namun, susunlah seberapa banyak tips untuk melupakan kisah cinta lalu ini, apa yang terpenting adalah diri kamu sendiri. Yakni, bagaimana kamu menghadapi kesakitan itu, bagaimana kamu menerima kegagalan itu, bagaimana kamu memandang cinta yang telah berlalu meninggalkan diri kamu terkapai-kapai. Jadi, bukan sebanyak mana tips yang kamu perlukan, tetapi bagaimana kamu menanggapi situasi ‘sakit’ itu.

Kamu mungkin merasa bagai kehilangan seluruh kehidupan. Kamu mungkin berkata tiada gunanya aku hidup tanpa si dia di sisi. Kamu mungkin tidak mampu melakukan apa-apa dan bagai 'lumpuh emosi' akibat hirisan cinta luka itu. Dan, ada deretan hal lain yang keseluruhannya adalah NEGATIF dan langsung TIDAK BERGUNA!

Mahukan kamu menjadi TAK BERGUNA dengan memikirkan hal-hal yang dah TAK BERGUNA?

Lalu kemudiannya kamu menyalahkan si dia yang dengan teganya meninggalkan kamu, mensia-siakan harapan kamu, mencampakkan cinta kamu bagai tiada nilai walau satu sen pun. Dan, mungkin ada ratusan senarai kemarahan jiwa yang ingin kamu lemparkan kepada mantan kekasih, atau pihak ketiga yang kamu rasa menjadi punca kesakitan dan keparahan jiwa yang kamu alami.

Duduk sebentar, dan renungkan kembali kisah cinta kamu yang hancur itu. Bagaimana ia bermula – bersemi berkembang lalu akhirnya layu dan terputus tak kesampaian. Pertama-tama; jangan TERLALU SIBUK mencari kesalahan mantan kekasih. Juga kamu jangan TERLALU MENYALAHKAN diri sendiri. Lalu, siapa yang harus disalahkan? Orang ketiga? Juga jangan berfikir untuk mencari siapa yang harus bertanggungjawap dengan putusnya cinta kamu. Daripada urutan kisah cinta tak kesampaian itu, kamu biarkan saja, relakan saja, redhalah dengan ketentuan itu. Kamu yakin bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada sebabnya, malah ada hikmah besarnya dalam hidup kamu [jika hikmah itu tidak kelihatan lagi ketika ini, insya-Allah kelak kamu akan melihatnya jua].

Rajin-rajinlah memujuk hati dengan mengatakan, dia itu memang ditakdirkan bukan jodohku. Pasti Tuhan menciptakan seseorang yang lain, yang lebih sesuai dan terbaik untukku. Banyak-banyaklah bersyukur kerana Tuhan begitu menyayangi kamu dengan menamatkan percintaan yang mungkin hanya akan mendatangkan lebih banyak kesakitan buat kamu andai ia diteruskan.

Bersahabatlah, dan jangan menganggap mantan kekasih sebagai musuh. Memang sukar tetapi tidak mustahil. Kepada kamu yang mampu dipersilakan, bagi yang hatinya terlalu luka dan sakit sebaiknya jangan. Kerana pastinya luka kamu akan semakin parah. Jika kamu mampu, gunakan peluang status KAWAN itu untuk menilai diri kamu semula. Dia mungkin berkata dengan jujur tentang diri kamu kerana sudah ‘tiada ikatan’ dan tidak ada apa-apa lagi yang perlu terlalu dijaga dalam hubungan itu. Tetapi jika kamu tidak mampu, cubalah pujuk hati untuk memaafkannya [memaafkan bukan bermakna kamu membiarkan dia 'menang', tetapi untuk kamu memenangi cinta yang lain]. Memaafkan akan membuat kamu lebih lega dan tidak tertekan. Ah, biar saja dan jangan difikir lagi tentangnya.

Cubalah untuk melihat kegagalan ini dari sudut POSITIF. Oleh sebab itu kamu harus tenang-tenang saja. Jangan biar rasa rendah diri menguasai, kerana segala yang berlaku bukan salah kamu. Percayalah, cinta tetap akan hadir ke dalam diri kamu. Bercintalah dengan benar dan betul; dan... cubalah mencintai orang yang tepat dan betul!


0 ulasan:

Ayat Kaki Ruang 1.11

BLOG INI HALAL DIBACA, TANPA ADA UNSUR HASUTAN SERTA ADU DOMBA. JUGA TIADA BERRBAU PERKAUMAN MELAINKAN BERKAITAN KAUM ADAM DAN HAWA. MENCARI YANG HALAL ITU FARDHU - BACALAH TANPA WAS-WAS!

Ayat Kaki Ruang 2.11

"Don't walk in front of me, I may not follow
Don't walk behind me, I may not lead
Just walk beside me and be my friend."

Ayat Kaki Ruang 3.11

JAP EKK... TAK SEMPAT NAK TAMBAH PAPE LAGI. NANTI AKU LAPANG-LAPANG AKU BUBUH LA APA YANG PATUT.

  © Blogger template Leaving by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP