> Bahagia Milik Kita

Saturday, May 13, 2006

Apakah kita termasuk orang yang bahagia? Sebuah pertanyaan yang layak untuk dilontarkan kepada diri kita masing-masing. Mungkin di antara kita saat ini ada yang memiliki harta melimpah-ruah, tetapi tidak berasa bahagia. Ada pula yang memiliki populariti dan pangkat yang tinggi, namun dia tidak berasa bahagia. Ada juga di antara kita yang sangat terpandang di masyarakat dan menjadi tokoh terkemuka, tetapi itu pun tidak membuatnya bahagia. Ada juga yang mencuba melancong ke luar Negara mengunjungi tempat-tempat wisata yang beraneka ragam namun ternyata kebahagiaan itu tidak juga menyertainya.

Jika demikian, ternyata ukuran bahagia itu bukan ada pada banyaknya harta, bukan ada di pangkat dan kepopularitian, bukan pula pada ketokohan seseorang dan juga bukan dengan melancong. Lalu, di manakah kebahagiaan itu, dan bagaimana pula kita dapat merealisasikannya?

Kebahagiaan adalah keadaan jiwa ketika seseorang mampu melakukan suatu perbuatan yang bernilai dan luhur. Ia merupakan kekuatan batin yang memancarkan ketenangan dan kedamaian, merupakan kurnia Allah SWT yang membuat jiwa lapang dan gembira.

Bahagia adalah kejernihan hati, kebersihan perilaku dan keelokan ruhani. Hal itu merupakan pemberian Allah SWT yang diberikan kepada siapa saja yang melakukan perbuatan terpuji.

Bahagia adalah rasa redha yang mendalam dan sikap qana'ah. Ia bukan barang dagangan yang dapat dibeli di pasar oleh orang sekaya mana pun, tetapi merupakan anugerah Allah SWT yang dikurniakan kepada jiwa-jiwa yang terpilih.

Kebahagiaan itu kelapangan jiwa, bahagia itu tatkala kita mampu membuat orang lain senang hati, menguntumkan senyum di wajah, dan kita berasa lega tatkala dapat berbuat baik kepada sesama kita, berasa nikmat ketika kita bersikap baik kepada mereka.

Kebahagiaan adalah membuang jauh segala fikiran negatif dan mengisinya dengan fikiran yang positif. Ia merupakan sebuah kekuatan yang mampu menghadapi pelbagai tekanan dan sekali gus mencari penyelesaian bukan berdasarkan emosi.

Kebahagian itu ada pada ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh, ada dalam meninggalkan kebencian, kedengkian dan sikap tamak terhadap hak orang lain.

Bahagia itu terdapat dalam zikir kepada Allah SWT, syukur kepada-Nya dan mempertingkatkan ibadah kepada-Nya. Dan kebahagiaan hakiki adalah meraih syurga dan terbebas dari api neraka.

Ungkapan tentang Kebahagiaan

“Orang yang berbahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari orang lain dan orang yang celaka adalah orang yang dijadikan pelajaran oleh orang lain.”

“Bahagia adalah jika kita suka untuk berbuat kebaikan, bukan dengan berbuat apa saja yang kita suka.”

“Orang bahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari masa lalu dan berhati-hati terhadap dirinya. Orang celaka adalah orang yang mengumpulkan harta untuk orang lain dan bakhil untuk memberikan kebaikan kepada dirinya sendiri.”

“Orang bahagia iaitu yang mahu mengambil faedah dari pengalaman masa lalu, bersemangat pada hari ini dan optimis menyambut masa depan.”

“Kebahagiaan itu diraih dengan menjaga lisan.”

“Seseorang tidak akan meraih kebahagiaan kecuali jika dia hidup merdeka, terbebas dari cengkraman syahwatnya serta mampu menahan hawa nafsunya.”

“Kesungguhan kita dalam mencintai ketaatan, hati yang selalu kita hadapkan ke hadirat Allah SWT, dan kehadiran hati ketika sedang beribadah merupakan indikasi cepatnya kebahagiaan.”

“Kebahagiaan itu tidak dapat dibeli dengan harta tetapi ia sering dijual.”


Tanda-tanda Kebagiaan
Kebahagiaan memiliki tanda-tanda, sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah. Beliau menyebutkan tiga perkara iaitu:
1. Jika mendapatkan nikmat, dia bersyukur.
2. Jika mendapatkan ujian, dia bersabar.
3. Jika berbuat dosa, dia beristighfar.


Langkah Menggapai Bahagia
Di antara langkah-langkah yang yang akan membawa kepada kebahagiaan dan kesuksesan adalah sebagai berikut:

1. Beriman Kepada Allah SWT
Tidak ada kebahagiaan tanpa iman kepada Allah SWT, bahkan kebahagiaan itu akan bertambah seiring dengan bertambahnya iman seseorang kepada Allah SWT, dan akan melemah bersamaan dengan lemahnya iman kepada-Nya. Apabila iman semakin kuat, maka makin besar pula kabahagiaan. Sebaliknya jika ia melemah, maka kegoncangan dan fikiran negatif akan bertambah yang dapat membawa kepada pahitnya kehidupan dan kebinasan.

2. Beriman kepada Kekuasaan Allah SWT
Orang yang beriman bahwa Allah SWT itu Maha Kuasa tanpa batas, maka dia tidak akan dirundung duka, tidak dibuat sedih oleh berbagai masalah kerana dia mempunyai tempat bersandar yang kuat, ketika sedang ditimpa suatu ujian dan kesulitan.

3. Beriman dengan Ketetapan Allah SWT
Iman dengan qadha’ dan qadar akan menumbuhkan sikap redha dalam hati, kelapangan jiwa dan ketenangan. Oleh kerana itu Nabi SAW bersabda,
"Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, sesungguhnya seluruh urusannya adalah baik. Jika ditimpa kelapangan, maka dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Dan jika ditimpa kesempitan, maka dia bersabar dan itu pun baik baginya.” (HR Muslim)

4. Mencontohi Orang yang Sukses
Yang dimaksudkan di sini adalah orang yang telah memberikan sumbangsih yang besar dan luar biasa bagi umat manusia dan dia adalah orang yang beriman kepada Allah SWT. Yang pertama dan utama adalah junjungan kita Rasulullah Muhammad SAW. Dengan mengikuti jalannya, maka seseorang akan bahagia dan dengan meninggalkan petunjuk dan sunnahnya, maka seseorang akan celaka.

5. Mengenali Kehidupan
Hidup pasti akan menghadapi masalah, mendapati kesusahan dan pasti ada rintangan dan ujian. Semua ini merupakan ketetapan dari Allah SWT terhadap manusia, supaya diketahui mana orang yang lebih baik amalnya. Maka wajib bagi kita untuk mengenal realistik hidup ini dan menerima sebagaimana wajarnya dan tidak menutup diri untuk menghadapi ketentuan Allah dengan ketentuan lainnya, menghadapi yang tidak kita senangi dengan sesuatu yang dapat menghilangkannya. Mengetahui permasalahan ini bukan bererti pasrah dan putus asa, tetapi justru bersikap sebaliknya.

6. Mengubah Kebiasaan Negatif Menjadi Positif
Doktor Ahmad Al-Bara' Al-Amiri mengatakan bahawa memulai kebiasaan baru yang bersifat aqliyah (sesuatu yang boleh difikirkan) itu tidak sulit, diperlukan kira-kira 21 hari. Dalam hari-hari tersebut kita berfikir, berbincang-bincang, lalu mengusahakan segala yang boleh menyokong untuk terwujudnya kebiasaan baru itu, dan terakhir kita menggambarkan dengan jelas dan sempurna bahwa diri kita telah menjadi yang kita inginkan.

Jika kita telah berfikir bahawa kita telah menjadi yang baru sebagaimana kita kehendaki, maka gambaran ini secara bertahap akan menjadi sebuah realiti. Hal ini seperti diungkapkan bahawa, sikap lembut dicapai dengan selalu berusaha lembut dan ilmu itu diraih dengan belajar.

7. Tujuan Yang Mulia
Ramai orang yang celaka kerana dia tidak memiliki sasaran dan tujuan yang dia usahakan agar menjadi kenyataan. Atau dia punya tujuan tetapi bukan sesuatu yang mulia dan tinggi sehingga dia tidak berasa bahagia tatkala berusaha menggapainya. Sedangkan tujuan yang mulia, maka akan menjadikan seseorang berasa bahagia ketika sedang berusaha untuk mencapainya.

8. Ringankan Derita
Orang hidup pasti mengalami musibah dan derita, namun tak selayaknya musibah itu diterima sebagai akhir dari segalanya, dan jangan beranggapan bahawa hanya dirinyalah yang diberikan ujian hidup. Bahkan selayaknya dia memperingan musibah dan tidak terlalu membesar-besarkannya.

9. Jangan Resah Dengan Hal Remeh
Ada sebahagian orang yang berasa resah dan kalut dengan kejadian-kejadian biasa dan lumrah dalam kehidupan sehari-hari. Di antara mereka ada yang begitu sedih dengan pecahnya pinggan atau gelas, saluran air atau kabel yang putus, baju yang koyak dan lain-lain yang sebenarnya biasa-biasa saja.

10. Kebahagiaan Ada Pada Diri Anda
Jika bahagia itu ada pada diri kita, maka mengapa harus jauh-jauh mencarinya, kerana setiap manusia punya kekuatan dan potensi bahagia, tetapi kebanyakan mereka tidak mahu melihatnya. Sebabnya adalah kerana dia tidak pernah memperhatikan diri sendiri, tetapi sibuk melihat orang lain.

Kebahagiaan terkadang ada di depan mata, tetapi kita tidak mengetahuinya, sehingga justru mencarinya lagi kepada yang lebih jauh dan semakin jauh.

1 ulasan:

Anonymous Tuesday, May 23, 2006  

assalamualaikum. Macam mana kalau seseorg tu dah lakukan semua tp masih tak bahagia juga?
Siapa nak jawab tu?

Ayat Kaki Ruang 1.11

BLOG INI HALAL DIBACA, TANPA ADA UNSUR HASUTAN SERTA ADU DOMBA. JUGA TIADA BERRBAU PERKAUMAN MELAINKAN BERKAITAN KAUM ADAM DAN HAWA. MENCARI YANG HALAL ITU FARDHU - BACALAH TANPA WAS-WAS!

Ayat Kaki Ruang 2.11

"Don't walk in front of me, I may not follow
Don't walk behind me, I may not lead
Just walk beside me and be my friend."

Ayat Kaki Ruang 3.11

JAP EKK... TAK SEMPAT NAK TAMBAH PAPE LAGI. NANTI AKU LAPANG-LAPANG AKU BUBUH LA APA YANG PATUT.

  © Blogger template Leaving by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP