Kita [01]
Tuesday, January 1, 2008
Salam Tahun Baru... Sebagaimana yang pernah aku katakan, 2007 banyak cabaran. Mungkin kebetulan ia benar-benar mencabar aku dan tidak kepada orang lain. Apapun setiap daripada kita akan merasai cabaran masing-masing pada tahun 2007.
Apa yang berlaku sepanjang 2007 memang pantas dan bagaikan sekelip mata. Banyak hal-hal yang datang tanpa diduga. Kadang-kadang aku bertanya, inikah diri aku yang sebenarnya? Aku sebenarnya tak mampu menilai diri sendiri - selain Tuhan, aku hanya menyerahkan penilaian itu dibuat oleh persekitaran.
Mungkin hampir tak ada yang tahu bahawa aku menyambut 2007 yang lalu bersama dengan 'ribut'! Dan, sebenar-benarnya ketika 2008 menjelma 'ribut' itu masih jua belum reda. Biarpun tampak tenang namun adakalanya ia melanda kembali.
Ketika di awal 2007, aku berasa aku harus 'mencari' tempat pengasingan untuk lari dari terus dilanda 'ribut' menggila. Aku harus 'tinggalkan' banyak hal, banyak perkara yang aku sayangi. Pun begitu aku juga sedar sampai bila aku harus begitu. Ada hal yang mampu diselesaikan dalam masa singkat, ada pula yang entah sampai bila. Takdir dan ketentuan-Nya kita tak tahu.
Sebenarnya Tuhan menurunkan 'ribut' ini untuk menjadikan aku hamba-Nya yang kuat, yang sabar dan lebih redha. Untuk melihat sebenarnya bagaimana pertimbangan yang berlaku dalam diri aku. Apakah aku akan lemas dalam emosi atau aku mampu terus berdiri dalam 'ribut' yang semakin menggila.
Kemudian, tatkala 'ribut' agak semakin reda... datang pula 'ribut' kedua. Hal ini walaupun sudah boleh aku jangka, namun lelah bertahan dengan pukulan 'ribut' pertama yang masih bersisa, cukup membuat aku mudah tersungkur. Sekali lagi aku haus berperang dengan emosi dan persekitaran di samping harus menghadapi peperangan sebelum ini masih belum usai.
Pukulan-pukulan kencang yang melanda menghilangkan sebahagian arah. Kabur dan malah mungkin ada yang lenyap tak mampu aku kesan lagi. Apakah kehilangan-kehilangan ini akan menguatkan aku untuk bangun kembali atau aku hanya pasrah dan menyerah? Ada waktu aku keras melawan namun ada waktu aku bagai mahu membiarkan saja segalanya mengikut arus.
Mungkin kekuatan yang ada hanyalah tinggal sisa, tetapi dalam keadaan yang hampir 'hilang' ini sebenarnya aku masih melihat dan merasakan ada huluran tangan yang sentiasa memaut kejap pergelangan tanganku. Dalam gelap aku sentiasa berasa keberadaannya. Aku cukup-cukup tahu dia sendiri tidak sekuat mana untuk terus bertahan memautku. Tapi atas rasa yang sama itu, seperti memberi suntikan tenaga untuk aku dan dia saling berpautan. Terima kasih...
Hal-hal yang terpaksa aku cicirkan sepanjang 2007 bukan bermakna aku buang semua itu. Aku berasa biarlah aku 'tinggalkan' buat semua itu sementara. Biarlah aku meredah sendiri dahulu 'ribut' ini sehingga benar-benar aman dan tenang. Tercampak ke puncak gunung setinggi mana pun, aku tak sentiasa ingat hal-hal yang aku tinggalkan itu. Terbenam ke dasar lautan paling dalam sekalipun, tak akan aku lupakan hal-hal yang selama ini bergayutan di sekelilingku.
~ Ada waktu kita mungkin tak perlu menjelaskan apa alasan kita untuk melakukan sesuatu. Bukan kerana orang lain tidak akan faham, tetapi kita hanya harus melakukan sesuatu dengan rasa lebih selesa.
0 ulasan:
Post a Comment