Cinta Yang Tertangguh
Tuesday, November 6, 2007
Kadangkala kita tak pernah menyedari betapa ada orang yang begitu menyintai dan menyayangi kita. Malah, melebihi daripada kita menyayangi diri sendiri. Mungkin ada persoalan, "Ada ke orang lain yang menyayangi kita melebihi kita menyayangi diri sendiri?"
Mungkin ada, mungkin tak ada! Kita mungkin bernasib baik jika ada orang yang menyayangi kita melebihi dia menyayangi dirinya sendiri. Kalau masih belum ada, berdoalah moga kalian akan dianugerahkan seseorang untuk menyayangi kalian sebanyak-banyaknya.
Kasih sayang yang ikhlas tak perlu apa-apa balasan. Cukup dapat memberi kasih sayang dan melihat orang yang kita sayangi bahagia. Namun, ada kala kasih sayang membuat kita sakit dan derita. Bukan kerana kasih sayang itu menjadi racun dalam diri, tetapi kerana kasih sayang itu bagai tak akan menyatu. Ia memang membahagiakan, namun ia bagai bayang yang tak mampu kita dakap ke dalam pelukan, yang semakin laju berlari apabila kita mengejarnya. Ia ada dekat namun tak mampu kita gapai, tak mampu kita capai!
[ i ]
kita telah menyatu dalam dunia ciptaanmu
kita melakar bahagia di situ
menyemai benih-benih dan bercambah tiada layu
berputiklah lalu kembang bersama senyum dipadu
tak pernah kita ragu kerana tak pernah bertandang syahdu
[ ii ]
ketika guruh menggegar perkebunan cinta kita
hujan bagai memberi khabar akan datang kisah duka
di antara titisan jernih ada kilauan lara sekilas di mata
[ iii ]
cinta kita hanyut terapung dalam derasnya gelora masa
ke mana agaknya kan dibawa segala lara
entah berapa lama harus menanggung sengsara
kutanyakan pada bulan yang pandai bicara
tentang cinta dan air mata
katanya, "Cinta tertangguh ini takdir yang harus diterima."
0 ulasan:
Post a Comment