Belajar Bercinta : Bab Sebelas

Friday, January 19, 2007

Salam kasih sayang!

Banyak di antara kamu yang keliru bila diselubungi cinta. Banyak terperangkap dalam dilema cinta dan kesudahannya tak mampu untuk membuat keputusan bijak. Walau ada yang mampu membuat keputusan, namun adakalanya ia dipengaruhi oleh sentimen lain. Ada pengaruh luar kawalan yang membantunya membuat keputusan. Andai keputusan itu benar dan tepat tak mengapa, tetapi bagaimana kalau keputusan itu silap?

Tatkala kamu mengenali seseorang, tak ada cinta yang terbit spontan. Mungkin ketika itu hanya ada 'suatu perasaan aneh' yang jika dilayan mengikut kehendak empunya diri, maka ia akan menjadi seperti yang kamu ingini. Ketika kamu bertemu seseorang yang kamu rasakan sesuai, dan ada naluri untuk mencuba ke arah hubungan lebih intim, kamu harus bertanya, tepatkan keputusan itu? Haruskah kamu menyorong perasaan kamu untuk masuk ke dalam dunia percintaan bersamanya? Atau, patutkah kamu membiarkan perasaan itu berkembang sendiri mengikut masa?

Dan, andainya kamu merasakan hubungan itu tidak ke mana, tidak akan berakhir seperti yang kamu harapkan, apakah yang harus kamu lakukan? Mahukah kamu terus mencuba dan mempertaruhkan cinta kamu? Atau, kamu harus mengambil keputusan untuk mengakhiri perhubungan intim itu? Segalanya terserah kamu...

Dengan cinta akan ada yang ditinggalkan, akan ada yang meninggalkan. Apapun kedudukan kamu, akan ada yang rasa ‘sakit’. Biasa dan lumrahnya, yang kene tinggallah yang akan rasa sakitnya. Namun, bukan begitu semuanya kerana ada waktu kamu terpaksa meninggalkan seseorang yang kamu sayang atas sebab-sebab tertentu.

Mungkin kita boleh renungkan lebih jauh maksud, cinta tak mesti bersatu itu. Kamu meninggalkan seseorang bukan kerana cinta kamu kepadanya sudah habis, malah semakin membara. Kerana sebab yang kamu sendiri sebenarnya tak sanggup nak tanggung, kamu tetap terpaksa meninggalkan.

Mari kita sambung tentang kisah seorang kawan…

Berpisah bukan benci! Itu antara kata-kata yang selalu mereka ungkapkan apabila kawan-kawan bertanya. Kebanyakan kawan-kawan terkejut kerana dulu pasangan ini pernah digelar couple of the year. Kerana mereka cukup sporting dan hal ini cukup disenangi oleh kawan-kawan.

Sebenarnya, sehingga ke hari ini [walaupun perceraian mereka telah lama berlalu] tak ada seorang kawan pun puas hati dengan dengan jawapan mereka apabila persoalan itu dibangkitkan semula.

“Kau mahu aku katakan bahawa aku bercerai kerana aku benci ex-wife aku ke? Tidak adil, kerana suatu waktu dahulu aku cukup menyayangi dia. Bukankah sudah aku katakan, cukuplah sekadar alasan tiada keserasian lagi antara kami. Buat apa kami duduk sekapal, sedangkan haluan tidak selari lagi? Memang di awal pelayaran pelabuhan yang kami cari adalah pelabuhan yang serupa. Tetapi di pertengahannya kami melihat arah kami berbeza, kami mencari pelabuhan yang berlainan.”

Nah, jawapan panjang penuh dengan bunga bahasa. Tapi itulah dia… begitulah jawapannya.

Di sini apa yang hendak di sampaikan adalah, kita pergi meninggalkan seseorang bukan hanya sebab benci sebagaimana yang sering ditafsirkan orang. Kita tak mampu untuk melawan takdir, kita harus menerima dengan sepositif mungkin agar hati kita tak selamanya sakit, dan kita tak selalu diserang sakit hati.

Membenci bukan mampu melegakan hati, berdendam pun bukan mampu memadam segala memori. Biarlah, biarlah kenangan manis dan pahit itu bersatu dan kamu simpan. Tahukan kamu, tidak semua orang mempunyai kenangan seperti yang kamu alami. Memang pengalaman patah hati itu hampir dialami oleh semua orang, tapi masing-masing mempunyai jalan cerita cinta yang berbeza.

Kisah-kisah gagalnya cinta membuat sesetengah kamu menutup pintu hati. Itu bukan satu tindakan bijak, kerana itu namanya kamu menyeksa diri. Kamu menafikan hak dan fitrah kamu sebagai seorang manusia.

Dengar apa yang kawan ini ucapkan…

“Kau akan berkahwin lagi selepas kegagalan pertama ini?” tanya seorang sahabat. Biarpun berat dikeluarkan juga persoalan itu. Sekadar ingin tahu.

“Hanya orang bodoh saya yang menolak sesuatu yang baik, sesuatu yang dituntut,” jawapnya ringkas tapi penuh makna. Kemudian dia menyambung, “Insya-Allah… apa aku boleh buat untuk menghalang kalau jodoh itu datang. Bukankah kita hidup ini dituntut mencari kebahagiaan? Andai seratus kali aku gagal, aku akan terus cuba kalau peluang untuk aku masih ada.”

Tiba-tiba terfikir dan mahu senyum mengenangkan kamu yang hanya baru GAGAL SEKALI bercinta sudah mahu menutup pintu hati! Teruk benarkah kisah cinta yang kamu alami berbanding kawan itu? Kamu! Siapa yang kamu hadapi dengan perpisahan ini? Sekadar kawan-kawan barangkali. Tapi dia? Keluarganya, keluarga mantan isterinya yang sudah tentu-tentu bukan seorang dua!

Sebab itu di awal-awal bab ini telah diingatkan agar kamu BERCINTA DENGAN BENAR DAN BETUL, agar segala kemungkinan yang berlaku di kemudian hari dapat kamu hadapi dengan benar dan betul juga.

Kenapa harus menafikan keindahan cinta itu hanya kerana patah hati? Patah hati itu adalah sebahagian daripada CINTA. Siapa yang mengajarkan kepada kamu bahawa cinta itu bemaksud hanya ada bahagia? Atau kamu tak dapat menafsir ungkapan bahawa CINTA ITU MEMPUNYAI SERIBU RASA, SERIBU MAKNA?

Jangan takut untuk bercinta lagi setelah gagal. Sebagaimana ungkapan, gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya yang boleh kamu praktikkan, mengapa tidak dalam CINTA? Jom, bercinta!

0 ulasan:

Ayat Kaki Ruang 1.11

BLOG INI HALAL DIBACA, TANPA ADA UNSUR HASUTAN SERTA ADU DOMBA. JUGA TIADA BERRBAU PERKAUMAN MELAINKAN BERKAITAN KAUM ADAM DAN HAWA. MENCARI YANG HALAL ITU FARDHU - BACALAH TANPA WAS-WAS!

Ayat Kaki Ruang 2.11

"Don't walk in front of me, I may not follow
Don't walk behind me, I may not lead
Just walk beside me and be my friend."

Ayat Kaki Ruang 3.11

JAP EKK... TAK SEMPAT NAK TAMBAH PAPE LAGI. NANTI AKU LAPANG-LAPANG AKU BUBUH LA APA YANG PATUT.

  © Blogger template Leaving by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP