Puasa & Kasih Syg Allah
Tuesday, October 11, 2005
RAMADAN merupakan bulan yang penuh kebajikan. Pada bulan ini, Allah SWT berkenan menurunkan pelbagai nikmat dan anugerah, mulai dari diturunkannya al-Quran, Malam Kemuliaan (Lailatul Qadr), pahala kebaikan yang berlipat ganda, kasih sayang, hingga limpahan ampunan yang menyebabkan orang mukmin terbebas dari seksa api neraka.
Semua nikmat dan anugerah itu sesungguhnya merupakan manifestasi dari kasih sayang Allah. Firman Allah: ''Kasih sayang-Ku melingkupi segala yang ada.'' (Al-A'raf : 156). Bahkan, dalam Hadis Qudsi disebutkan bahawa kasih sayang Allah dapat mengalahkan murka dan amarah-Nya. Ini harus menjadi dasar dan pegangan bagi orang mukmin untuk selalu bersikap optimis dan penuh harap terhadap rahmat dan kasih sayang Allah.
Dalam al-Quran disebutkan bahawa orang-orang yang memiliki kedalaman iman dan takwa selalu mengharap untuk memperoleh kasih sayang Allah itu. Mereka berdoa: ''Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, hati kami, dan kurniakanlah kepada kami kasih sayang dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemberi.'' (Ali Imran : 8).
Kasih sayang Allah yang diminta oleh kaum mukmin dalam ayat ini, menurut pakar tafsir al-Razi, mengandung beberapa pengertian.
Pertama, rahmat Allah dalam erti iman dan makrifah (nur al-iman wa al-ma'rifah). Dalam pengertian ini, orang yang memperoleh rahmat Allah adalah orang yang memiliki iman dan tauhid. Ia sentiasa menuhankan Allah, dan tidak menuhankan benda, atau menuhankan hawa nafsunya sendiri.
Kedua, rahmat Allah dalam erti tunduk dan patuh kepada kehendak Allah (nur al-tha'ah wa al-ubudiyyah). Ini bererti, orang yang memperoleh rahmat Allah adalah orang yang diberi kekuatan oleh Allah untuk dapat menjalankan ajaran-ajaran agama dengan baik dan konsisten.
Ketiga, rahmat Allah dalam erti kemudahan dalam hidup di dunia. Kemudahan ini, menurut al-Razi, ditandai oleh tiga hal, iaitu aman dan tenteram (al-amn wa a-salam), kesihatan (al shihhah), dan berkecukupan secara ekonomi (al-kifayah).
Keempat, rahmat Allah dalam erti kemudahan dalam kehidupan di negeri akhirat. Kemudahan di sini ditandai oleh tiga hal, iaitu kemudahan dalam perhitungan amal (hisab) dan kepastian bahawa seseorang memperoleh ampunan Allah dan syurga. Kasih sayang Allah dalam pengertian seperti dikemukakan di atas sungguh merupakan sesuatu yang sangat berharga. Kata-kata ''berilah kami dari sisi-Mu kasih sayang (rahmat)'' mengandung makna bahwa kasih sayang itu tidak dapat diperoleh dari pihak manapun, kecuali dari Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Pada bulan yang penuh keberkahan ini, setiap Muslim patut berharap dan berdoa semoga ibadah puasa dan semua kebaikan yang dilakukan pada bulan ini menghantarkannya meraih rahmat dan kasih sayang Allah itu.
0 ulasan:
Post a Comment