Pengalaman & Hikmah
Thursday, September 29, 2005
APAKAH yang membuat kita berlainan daripada orang lain? Banyak faktor! Salah satu daripadanya ialah pengalaman kita. Setiap apa yang kita lakukan dirakam dalam memori sedar atau sebaliknya. Segala yang kita lihat, cium, pegang dan rasakan akan tersimpan di dalam otak.
Tindakan kita ketika ini biasanya merujuk kepada apa yang ada dalam fikiran kita. Oleh itu pengalaman kita amat mempengaruhi kita. Kepercayaan kita sering muncul dari pengalaman kita. Sementara itu sikap dibentuk dari kepercayaan kita dan tindakan akan banyak bergantung kepada sikap kita. Jadi, pengalaman adalah sumber keunikan kita.
Namun, adakalanya pengalaman yang sama membentuk keperibadian yang berbeza. Dua orang yang sama-sama ditinggal akibat kematian memiliki sifat yang berbeza. Yang seorang menjadi orang yang pendiam dan yang kedua menjadi orang yang ramah. Ini menunjukan bahawa bukan hanya pengalaman yang membentuk keperibadian kita, tetapi bagaimana kita menggunakan pengalaman tersebut.
Bagaimana agar kita mampu meraih hikmah dari pengalaman kita? Selalu berfikiran positif terhadap pelbagai pengalaman kita pada masa lalu. Orang yang ramah tadi adalah orang yang berfikiran positif atas peristiwa yang terjadi kepada dirinya. Manakala yang seorang lagi berfikiran negatif. Hal pertama yang harus kita tanamkan dalam fikiran kita ketika akan mengambil hikmah atas pengalaman tersebut adalah keyakinan bahawa segala sesuatu itu ada hikmahnya. Jika kita sudah memiliki keyakinan seperti ini maka dengan sendirinya hikmah akan menghampiri.
Untuk memperkuat hikmah yang kita perolehi dari setiap pengalaman, kenanglah pengalaman-pengalaman yang positif saja. Pilih pengalaman yang kita sukai. Pilih pengalaman yang membuat kita bahagia, kemudian tingkatkan intensitas kita mengenang pengalaman tersebut. Ini akan memperkuat hikmah yang telah kita perolehi sekali gus akan meningkatkan citra diri, insya-Allah.
Jika pengalaman mempengaruhi hidup kita, kenapa kita tidak melahirkan pengalaman yang akan memberikan iampak positif terhadap hidup kita? Ada dua cara, yang pertama dengan imaginasi dan kedua dengan pengalaman yang nyata. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik ialah menggabungkan kedua pengalaman tersebut.
Mengapa pengalaman imaginasi boleh berhasil? Fikiran bawah sedar tidak boleh membezakan apakah pengalaman tersebut nyata atau tidak. Semuanya akan diserap dan disimpan dalam memori yang kemudian dijadikan rujukan oleh kita. Gambaran syurga dan neraka yang di dalam al-Quran adalah salah satu cara efektif dalam membentuk manusia-manusia yang mulia dan unggul. Sudah terbukti.
Marilah kita ambil hikmah dari setiap pengalaman kita. Hikmah itu selalu positif. Hikmah itu milik kita, maka ambilah di mana pun kita menemukannya. Dan diri kita sendiri adalah salah satu sumber hikmah yang banyak.
0 ulasan:
Post a Comment