Kerana Kau Perempuan
Friday, January 11, 2008
Seorang perempuan pernah berkata kepada aku tentang naluri perempuannya. Katanya, perempuan itu pelik dan memang sukar difahami bagi yang tak mahu belajar memahaminya. Dia berkata lagi, "Angguk perempuan kadangkala bukan bermakna setuju dan gelengnya pula bukan bermaksud tidak." Jadinya mungkinkah lelaki harus sentiasa belajar tentang perempuan untuk memahami mahkluk 'lemah-lembut' ini? Sudah tentu jawapannya, YA! Tetapi Seorang perempuan juga pernah berkata kepada aku, "Semakin kau mempelajari tentang perempuan, semakin lama dan akrab kau mengenalinya, maka semakin banyak yang kau tidak tahu tentangnya. Kau harus belajar lebih banyak!"
Asal-usul kejadiannya dari tulang rusuk nan bengkok, maka ia akan sentiasa bengkok. Ia tak akan dapat diluruskan, kerana ia akan patah. Lalu ada ungkapan yang berkata bahawa lelaki harus mengikuti 'kebengkokan' perempuan itu untuk meluruskannya. Cumanya, semua orang tahu bahawa perempuan itu antara dugaan terbesar buat lelaki, antara tangungjawab besar lelaki juga. Lelaki boleh ikut 'kebengkokan' perempuan itu selagi dia berasa mampu untuk meluruskannya. Namun, ramai lelaki yang turut bengkok bersama kebengkokan perempuan itu.
Seorang kawan pernah berkata atau lebih sesuai dia merungut-rungut tentang perempuan yang disayanginya. Katanya, "Aku tak faham dengan perangai dia, aku kata A dia balas B, aku kata B dia jawab C..." Sebenarnya, kawan aku ni mungkin hendak menyampaikan bahawa dia semakin tidak serasi dengan pasangannya. Tetapi sebenarnya dia lupa bahawa, tidak sehaluan itu bukan bermakna tidak serasi. Maha Pencipta menciptakan makhluk berpasang-pasangan, dan saling memerlukan, saling memenuhi kekosongan masing-masing.
Jika kita tak pernah berselisih pendapat, mungkin kita boleh melihat bahawa hubungan itu tidak normal. Atau mungkin masing-masing saling 'menyembunyikan' sesuatu walaupun ia tidak berkenan di hatinya. Masing-masing terlalu 'menjaga hati' pasangan. Hal ini mungkin boleh bertahan sehingga suatu masa saja dan sehingga tiba masanya ia akan 'meletup'. Ketika itu semuanya sudah terlambat - nasi sudah menjadi bubur!
0 ulasan:
Post a Comment