Catatan Penutup viii
Thursday, March 19, 2009
ketika terucap salam terakhir
kenyataan, impian dan takdir bersilih gilir
telah kudayung cinta mudik ke hilir
namun arus deras tak pernah berakhir
di pelabuhan manakah dapat kutambat
seluruh rasa cinta yang menghambat
ketika mentari sudah mahu beradu
kepada bulanlah pula kumengadu
aduhai... akulah pungguk yang merindu
yang sentiasa berlagu syahdu merayu
sang kejora pun berkata penuh cemburu
"bertuah benar dapat memiliki cinta agungmu..."
Catatan Penutup vii
Tuesday, March 10, 2009
ketika merebahkan lelah di pangkuanmu
tirai berlabuh dan menutup pentas dukaku
gerimis senja nan berpanjangan ke dinihari
hanya kudakap bayangmu mencari kehangatan
sepertiga malam berlalu penuh syahdu
syukur dengan belai kasihmu tak terperi
subur di hati biar tak pernah kubajai
embun telah kering sebelum mentari bangkit
itukah petanda aku pencinta yang sakit?
Catatan Penutup vi
Thursday, March 5, 2009
retak hatinya retak kini
masih terpatri sejuta janji
masih terus menganyam mimpi
sedang aku mengejar pelangi
dan memburu ilusi
ketika retak menanti belah
kulayarkan segala resah
ke lautan rasa penuh pasrah
andai, karam jua di lautan rasa
itu memang takdir cinta kita
~ ketika ombak menyapa, kutanyakan kepadanya...
"jika cinta tak bersatu, masih adakah bahagia untukku?"
Catatan Penutup v
Wednesday, March 4, 2009
...terus melangkau bait-bait waktu
yang sentiasa ada, hanya rindu kepadamu
yang sering menghadiahkan sejambak sendu kepadaku
manis yang kurasa adalah hempedu
dan pahit yang kutelan hanya setitis madu